Monday 3 February 2014


( Bahagian 1 )


TAKKAN MAMPU DIRIKU SEMPURNA
 
 Gah dewan yang terletak di Mujamma’ Nuqobat ini dengan hiasan yang dihias sendiri oleh rakan sebatch. Hari ini, majlis penurunan takhta pimpinan lepas dan perlantikan pimpinan baru akan dilaksanakan. Sorakan gembira, tepukan gemuruh bersatu menjadi irama yang padu mengusik jiwa. Sudah lama Khairah Hisan berada bersama mereka. Ukhwah tersimpul utuh, dalam diam dia memasang impian. Moga-moga wajah-wajah ini jugalah yang akan sama-sama menjadi penguat, semoga ukhwah ini mampu meraih syafaat. Kekaguman menyuntik hati. Bertemakan Classical vintage, rakan-rakannya tidak melepaskan peluang tampil cantik bergaya di majlis tersebut. Akhawat dengan busana sopannya. Syabab dengan kemeja segaknya. Ingin kelihatan cantik itu fitrah, lebih-lebih lagi membuahkan zikirnya apabila mereka bijak membawa diri. Berfesyen tetapi tetap meletakkan pandangan Allah yang pertama. Tidak berlebihan, tidak melanggar syariat.

 Majlis yang diadakan mendambakan keberkatan. Disusun atur penuh teliti ditolak semaksima mungkin sebarang kecacatan. Pengarah programnya rakan seumur tetapi gayanya seperti seperti pimpinan atasan. Persembahan mengagumkan. Meja yang memisahkan antara lelaki perempuan. Pembukaan majlis dengan doa. Tazkirah tidak dilupa. Tidak ditinggalkan sesi muhasabah bersama. Dia menadah tangan diam-diam. Disebalik alas meja berwarna gelap. Lalu dihadiahkan doa.

‘Buat pemimpin-pemimpin terdahulu, akan datang, pemimpin-pemimpin kini, yang mana hatinya berakar umbikan misi-misi untuk menyebar kebaikan, menjaga hak-hak manusia juga hak Allah, maka Tuhanku, pilihlah dia menjadi salah seorang pemimpin yang Kau gilap akhlaknya, Kau jagakan iman dan matlamatnya. Moga-moga pemimpin-pemimpin inilah juga yang akan lantang perjuangkan islam. Umat ketandusan pemimpin beriman. Pilihlah mereka. Aminnnn…’

 Selesai majlis tersebut, ada temu janji seterusnya. Hak-hak badan sudah tertunaikan. Roh merintih, meminta untuk diberi perhatian. Manusia dan tazkirah (peringatan) umpamanya seperti charger dan handset. Tanpa charger, ‘tidak hiduplah’ handset. Makanya, sesi saling bertentang mata, bertemu lutut, bertukar senyuman adalah saat yang sangat-sangat dia nantikan. Saya memang ternanti-nanti saat ini. Tidak ada apa yang dapat memujuk hati saya ketika berduka mahupun kesedihan melainkan apabila mengingatkan kembali kepada Dia, Allah rabbul izzati.

 Umpamanya siapa lagi yang tahu rahsia buah durian yang enak dan lembut teksturnya, melainkan penanam pokoknya. Siapa pula yang tahu resepi kek sedap melainkan pengadunnya. Siapa lagilah yang berhak dirujuk dan diadu lemah dan hamba tatkala diberi ujian, melainkan Dia yang memegang kunci penyelesaian. Tazkirah umpama siraman air yang menyegarkan kembali semangat untuk terus kuat. Tampil excellent dihadapan mataNya dalam menghadapi mehnah ujian dunia yang sementara ini. “Saya selalu tertanya-tanya, siapakah saya dimata Allah sebenarnya? Entah sudi atau tidak Dia memandang kita? Selalu sahaja saya berazam untuk menjadi seseorang yang baik. Tapi azam hanya tinggal azam. Istiqamah dalam melakukan perubahan, sangat susah.” Saya mengadu kepada naqibah. Kak Sofiyyah mengukir senyum. Dikongsi rahsia.

“Dalam al-Quran, Allah ceritakan empat karakter manusia. " Kami mendengar tekun.

“Salah satunya dalam Al-Quran, Allah mendeskripsikan dua kelemahan manusia, iaitu lemah secara fizikal dan lemah (dalam melawan) hawa nafsu buruk. "Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) kuat setelah berkeadaan lemah itu, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (Surah Ar-Rum: 54)

“Al-Quran menggambarkan jiwa manusia di saat-saat kesenangan dan kesusahan. Juga ketika di kesempitan rezeki dan keluasannya. Jiwa manusia itu akan terus bergoncang dan terumbang-ambing di dalam penilaian dan tanggapan-tanggapannya selama ia tidak bersandar kepada neraca pertimbangan Allah yang selama-lamanya tidak pernah goyah.” (rujuk Tafsir Fizilalil Qur’an: Jilid 7)

Panjang lebar ulasannya. “Maknanya akak, selama itulah kita memang tidak akan mampu lari dari bersikap begini? Tidak akan mampu menjadi terbaik setiap masa dan ketika?” Kak Sofiyyah mengangguk tersenyum.

“Bagaimana pula kita ingin pastikan pengakhiran kita berada dalam keadaan yang baik? Sekiranya memang sudah dijadikan manusia itu tidak akan maintain imannya?” saya bertanya lagi.

“Allah paling tahu apa yang bermain jauh dilubuk hati adik. Sebab itulah kita kena jadikan diri kita hamba yang pencinta taubat. Kena selalu minta maaf pada Allah.”

bersambung ..........


- DOME -