Diskalamer : jika dibaca dengan kuat (bukan menjerit) maknanya bukan dibaca di dalam hati, penulis rasa lebih menarik dan insha Allah pembaca tidak akan tertidur semasa membaca.
Penulis terbaca 'quote' tajuk entri di atas sewaktu penulis sedang melayari 'web tumblr' di 'iPhone' berwarna penulis. Penulis mula tersenyum-senyum sendiri bila teringat zaman semasa penulis kecil-kecil dahulu.
Pernah suatu masa, penulis sangat sukakan seorang pelajar di dalam kelas yang sama dengan penulis. Sewaktu itu penulis baru berusia 12 tahun. Darjah 6 macam tu. Tiap-tiap hari penulis akan cuba mencari helah untuk lalu di barisan mejanya. Tolong cikgu edar buku, keluar masuk tandas dan yang paling kelakar sekali sapu sampah dalam kelas walaupun bukan 'turn' penulis. Berusaha sangat penulis agar orang yang penulis suka itu menyedari kehadiran penulis. Atau mungkin suka balik kepada penulis.
Tambahan pula, orang yang penulis suka adalah pelajar nombor satu dalam kelas penulis. Sangat pandai. Lagilah penulis suka. *batuk kering*
Waktu itu, macam-macam yang penulis buat. Sampai satu masa penulis sanggup usaha sedaya upaya untuk mendapat tempat kedua di dalam kelas sebab, semasa penulis darjah 6 dulu-dulu, kedudukan di dalam kelas mengikut kedudukan dalam peperiksaan. Jadi, kalau penulis dapat nombor 2 ? :)
Pada masa yang sama, ada seorang pelajar di dalam kelas penulis yang suka kepada penulis. Penulis pun tidak tahu kenapa dia selalu kacau penulis dalam kelas. Kadang-kadang tu sampai menangis-nangis penulis dalam kelas. Bila ditanya oleh guru kelas, kenapa dia buat penulis macam tu, katanya sebab dia suka kepada penulis. Pelik !
"Kalau suka kenapa buat macam tu?"
Penulis dalam nada teresak-esak selalu tanya soalan yang sama kepada pelajar yang selalu kacau penulis ni.
Jawapannya tidak pernah berubah.
"Sebab aku suka sangat kat kau"
dengan dahi yang berkerut-kerut dan nada yang garang dia beritahu penulis.
Agak seram pengalaman 'first confession' penulis.
Memandangkan orang yang suka kepada penulis ini sama-sama dengan penulis di sekolah agama sahaja. Penulis selalu memberi alasan kepada En. Abah & Puan Umi penulis untuk tidak ke sekolah. Cuma datang ke sekolah kebangsaan sahaja. Tetapi mestilah tidak dibenarkan.
Sampai suatu masa sebelum penulis habis sekolah darjah 6, penulis bertanya semula kepada pelajar yang selalu kacau penulis dalam kelas. Kenapa dia selalu tarik uniform sekolah penulis, selak kaki penulis sewaktu berjalan, halang perjalanan penulis, tarik beg penulis dan ambil buku penulis ! Akhirnya dia beritahu penulis semasa itu.
"Kalau suka mak aku kata kena usaha"
Jadi apa kaitan tajuk post ini dengan cerita penulis ?
Kalau penulis tanya kawan-kawan, suka syurga tak ?
Mesti semua jawapan semua suka. Siapa yang bencikan nikmat Allah yang tidak pernah dilihat oleh mana-mana mata dan tidak terbayang oleh mana-mana bayangan ini
Sebab itu kita usaha untuk mendapat kasih sayang dan rahmat Allah S.W.T sebab siapa yang berada dalam keredhaan Allah sahaja yang akan dapat nikmat syurga.
Mula faham dengan apa yang penulis cuba sampaikan?
Dalam dunia yang sementara ini, tidak kisahlah di mana kita berada, dalam keadaan apa pun. Segala yang kita lakukan pasti ada pendorong dan yang akan melemahkan kita. Bila penulis tanya kawan-kawan penulis, kawan-kawan pembaca juga, kenapa nak jadi doktor ? Jawapannya, pasti kerana dasarnya suka.
Tidak kisahlah apa alasannya, perbuatan terhasil untuk kita capai perkara yang kita sukai itulah namanya usaha.
Penulis suka kepada kawan sekelas penulis sebab dia pandai. Selalu dapat no. 1. Tetapi pelajar yang suka kepada penulis itu pula, suka kepada penulis sebab dia suka penulis. Tiada alasan. Tetapi kedua-duanya ada usaha yang dilakukan.
Oleh itu, kawan-kawan sekalian, penulis faham dan yakin, setiap satu dari kita tidak sama. Masing-masing punya cara 'method' yang berbeza untuk mengubah perasaan suka kepada perbuatan.
"Tidak kisah bagaimana tetapi usaha tetap kena ada"
"Suka bila dengar pesakit-pesakit panggil kita dengan panggilan doktor. Suka bila mereka minta tolong kita dengan kelebihan ilmu yang kita ada. Suka bila kita bermanfaat kepada orang sekeliling kita"
Jadi kalau betul suka, tambahkan ilmu am dalam bidang masing-masing (nasihat untuk penulis terutamanya. *batuk kering*), ambil bahagian dalam kelas, 'revise' material sebelum klinik, layan pesakit dengan sebaik mungkin, faham dalam paling penting sekali niat kerana Allah S.W.T.
Ini baru betul-betul usaha.
Usaha-usaha kita inilah yang akan menghasilkan sama ada kejayaan atau kegagalan. Bergantung kepada bagaimana usaha kita. Masing-masing sudah besar untuk klasifikasikan usaha yang akan mencapai kejayaan atau usaha yang akan membawa kehancuran.
Penulis tidak tahu apa yang menjadi pendorong kawan-kawan DOME penulis untuk belajar di Jordan. Dan penulis juga tidak tahu apa yang melemahkan kawan-kawan penulis untuk belajar di Jordan. Tapi, apa yang penulis tahu, kalian tahu apa faktor-faktor pendorong dan yang melemahkan itu.
"Berusaha untuk kekal berada di Jordan menghabiskan 'Degree' kita di sini, selama 5 tahun dan 6 tahun bukan suatu perkara yang mudah.
Kadang-kadang kita kan jatuh, saat itu ingatlah semula segala usaha-usaha kita masa mula-mula dahulu"
Nasihat penulis kepada yang tiada rasa betul-betul suka atau suka biasa-biasa je kepada bidang medik/pergigian ini, doa betul-betul kepada yang Maha Memegang hati-hati manusia. Doa supaya Allah hadirkan rasa suka supaya usaha kita akan jadi usaha yang ikhlas untuk mencapai kejayaan di sini terutamanya. Bila suka segalanya akan lebih indah dan mudah.
'Isn't it? '
Kalau masih tiada perasaan suka...
Hmm, nasihat penulis, mungkin kita boleh tukar quote dekat atas tu kepada
Penulis bukanlah seorang yang pandai menulis, tetapi entah kenapa penulis rasa penulis nak beritahu kawan-kawan penulis tentang kebenaran 'quote' ini. Sebab macam yang penulis maksudkan di atas,
"kalau suka segalanya lebih mudah"
In Sha Allah. Akhir kalam, terimalah pantun penulis. 'Housemate' penulis yang tolong penulis ingatkan semula pantun kita kecik-kecik dulu ni.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Penulis budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
p/s : maaf di atas kata-kata yang tersinggung mana-mana pihak. Dan, jangan cari siapa penulis sebab penulis segan.
Yang menulis,
Penulis.